Saturday, November 27, 2010

Nasib Kesatuan Kultus Lalat Ep3

“Hai manusia. Jangan bunuh hamba”, terdengar suara kecil entah dari mana.

“Suara siapa itu? Kau ke?”, bertanya Usin sambil memandang tepat kearah lalat tadi.

“Ya benar. Ini memang hamba yang bersuara. Hamba didalam kesusahan”, jawab lalat itu tadi sebelum dia bercerita lebih lanjut.

“Hamba adalah lalat pengawal dari istana Kesatuan Kultus Lalat. Istana hamba kini ‘in danger’. Persatuan Ultra Lebah Angkasa telah datang menyerang istana kami. Puteri kami kini berada didalam tahanan Persatuan Ultra Lebah Angkasa”, kata lalat.

“Habis, mane pengawal-pengawal yang lain?”, Tanya Usin.

“Hanya 3 ekor sahaja lalat pengawal, termasuk hamba yang berjaya melepaskan diri dari tahanan Persatuan Ultra Lebah Angkasa. Tetapi malang nya, kedua-dua kawan hamba mati. Seekor mati lemas didalam teh tarik manakala seekor lagi mati terkena perangkap lalat elektrik, kini hanya tinggal hamba seekor sahaja”, jawab lalat.

“Oooh begitu. Suwey betul kawan ko tuh yek. Ateh, kome nak teman buat ape?”, tanya Usin dalam loghat Perak.

“Begini, hamba ingin meminta pertolongan tuan hamba untuk menyelamatkan Tuan Puteri kami bagi menjamin kelangsungan kerajaan kami. Hanya hamba seekor sahajalah harapan mereka”, jelas lalat.

Usin merenung seketika. Sesekali dia berkerut dahi seolah sedang berfikir. Merenung jauh.

“Kalau aku tolong kau, apa yang aku dapat?”, soalan berunsur duniawi diajukan Usin.

“Jika sekiranya tuan hamba berjaya menyelamatkan Tuan Puteri kami, tuan hamba akan memperoleh kekayaan. Lokasi rahsia harta karun yang tersorok berada didalam tangan kerajaan kami, dan disebabkan rahsia ini jugalah yang membuatkan Persatuan Ultra Lebah Angkasa menyerang kerajaan kami”, kata lalat.

Riak muka Usin kelihatan berubah setelah mendengar berita tentang harta karun tersebut.

“Wow. Kalau macam tu, aku dah tak yah susah-susah nak cari kerja lepas ni. Baiklah, anna setuju. Aku sedia membantu ko, demi kerajaan Kesatuan Kultus Lalat…. dan demi harta karun”, terpancar sifat tamak haloba dari riak wajah Usin.

“Sebelum kita bekerjasama, ingin hamba bertanya, siapakah nama gerangan tuan hamba ini?”, lalat bertanya pada Usin.

“Ooh. Nama aku Usin.?”, jawab Usin.

“Usin..? Usin Bolt ke Tuan Usin Lempoyang..?”, tanya lalat lagi.

“Eh ko ni, banyak tanya pulak, sekali aku ‘Ridsect’ kang, saje je. Dah, ko tunggu sini kejap, aku nak pergi bersiap”, kata Usin.

“Baiklah, tetapi jangan lama-lama ya tuan hamba. Kerajaan hamba dalam bahaya”, kata lalat.

Setelah meletakkan si lalat tadi diatas meja makan, Usin bingkas bangun dan menuju ke bilik.

Wednesday, November 24, 2010

Nasib Kesatuan Kultus Lalat Ep2

Setelah siap mandi semua, Usin pun menjenguk ke dapur. Di angkat nya tudung saji diatas meja untuk menjengah lauk yang disediakan Mak Bedah. Mak Bedah kelihatan sedang berdiri di sinki, membasuh pinggan mangkuk.

“Lah..!! Ikan masin dengan sambal belacan je ke..??!!”, Usin seperti tidak puas hati dengan perkhidmatan buffet yang disediakan oleh Mak Bedah.

“Eh cuba la belajar bersyukur sikit. Kira ok lah tu ada lauk. Mak ada tengok video kat Pesbook dulu tu, kawan mak yang ‘tag’kan, kat Africa nu, orang makan tanah je tau, belum bab air minum nya lagi, kang mak sebut, muntah hijau kau dengar nya” bebelan bertali arus dari Mak Bedah.

“Nak makan, makan. Tak nak, tak yah”, tambahnya.

“Mentang-mentang dah ada account Pesbook, itu pun aku yang ajarnya minggu lepas”, kata hati kecil Usin .

“Ikan masin pun ikan masin la. Nasi nya mane?”, tanya usin.

“Tu dalam periuk tepi dapur. Amik la sendiri, mak nak pergi amik daun serai jap kat luar nu”, jawab Mak Bedah sambil menunjuk ke arah periuk nasi yang terletak disudut ruang dapur rumahnya itu, sebelum berlalu pergi.

Usin tanpa berlengah mencapai pinggan. Disenduk nya nasi dalam periuk dan terus duduk di meja makan.

Baru je Usin nak suapkan nasi berlaukan ikan masin tadi, dia dikejutkan dengan satu bunyi yang sangat dibencinya.

“Ngeeengg.. Ngeeengg..”

“Ai binatang nih. Time aku nak melantak la ko datang yek. Boleh pulak ko be’racing’ kat dapur ni”, mendidih darah Usin dibuatnya dengan gelagat seekor lalat yang tiba-tiba muncul.

Usin memandang ke segenap sudut dapur rumahnya, mencari penyapu lidi untuk memukul lalat yang syok be’racing’ tu.

“Ngeeengg.. Ngeeeeennnnggggggg..”

Makin rancak lalat tu duk layan ‘lap’ sedang Usin masih tercari-cari penyapu lidi. Lalu dia hinggap kat tangan Usin. Sebelah tangan lagi, Usin dah standby dengan penyapu lidi yang baru dijumpanya.

“Wah banyak cantek ko yek. Siap landing kat tangan aku lagi. Ko memang nak kena ni”, kata Usin dalam hati.

Baru je Usin nak hayun penyapu lidi, tiba-tiba dia terdengar suatu suara kecil. Dia menghentikan hayunan Cakar Penolak Awan yang baru dipelajari melalui komik Pedang Setiawan.

“Hai manusia. Jangan bunuh hamba”, terdengar suara kecil entah dari mana.

“……..??!!”

Sunday, November 21, 2010

Nasib Kesatuan Kultus Lalat Ep1

Hari Sabtu. Di sebuah rumah yang terletaknya dihujung sebuah desa. Suasana hening desa tersebut dikejutkan dengan suara seorang wanita, menjerit dengan nada yang tinggi. Kalau mengikut ilmu muzik, suara dia berada di note E#msus7 (E sharp minor sus seventh). Hanya beberapa orang artis sahaja didunia ini yang sampai note E ini.

**

“Usinnnnn.….!! Bangunnnn….!! Dah pukul berapa dah ni…??!!”

Beberapa keping cermin tingkap pecah dibuatnya setelah note tadi dilepaskan oleh Mak Bedah. Kelihatan Usin terbungkang di ruang tamu dengan keadaan berlenggeng dan hanya berboxer, masih berhalusinasi di alam mimpi. Toto dan bantal bersepah diruang tamu, tidak ubah seperti keadaan di gelanggang wrestling.

“Wooii..!! Tak dengar ke mak cakap..?? Bangun. Dah tengahari da ni”, pekik Mak Bedah lagi.

Setelah dua kali pekikan dilepaskan pada note E#msus7 oleh Mak Bedah, dan sebelum dia menggunakan hikmat Ngauman Singa Betina beliau, Usin bingkas bangun. Usin duduk seketika, cuba menghilangkan khayalannya. Setelah terhangguk-hangguk dua tiga kali, dia berdiri, di capainya toto dan bantal, diseretnya terus masuk ke dalam bilik.

“Apa la mak ni. Hari Sabtu ni kan, bangun awal pun bukan buat apa”, Usin bersuara keluar dari biliknya menuju ke ruang tamu semula dengan wajah yang selenge seolah nak penampar sedas.

Dengan kesan air liur basi masih di pipi, dia duduk di kerusi. Di buka nya TV.

“Hah cantek sangat lah tu. Bangun-bangun tido ngadap TV”, artis wanita tadi bersuara dari dapur.

“Pergi mandi nu”, tambah artis.

“Ei orang tua ni, orang nak layan Spongebob jap pun tak boleh”, jawab Usin dengan nada perlahan.

“Apa ko cakap? Ulang sekali lagi, mak tak berapa nak dengar la”, Mak Bedah melenting.

“Eh tak ada apa la mak. Ni ha, Mr Krab dalam citer Spongebob ni, jadi tua untuk episode ni”, Usin berdalih setelah kata-katanya didengari Mak Bedah.

“Oo ingat aku tak dengar? Tua aku ni pun, pandai bangun pagi, pandai cari rezeki”, jawapan makan dalam diberikan oleh Mak Bedah, memerli Usin yang menganggur sejak 4 bulan yang lalu setelah tamat kursus menjahit dari Pusat Giat Mara.

“Dah, ko tak payah banyak bunyi, cepat pergi mandi, sebelum tong gas ni melekat kat kepala ko”, balas Mak Bedah.

Usin bingkas masuk bilik, dicapai tuala dan berlalu pergi ke bilik air.